wasiat Al-Banna ke-8, Jauhi bicara aib orang lain
Fahri Abdullah al-Masri
Sat | Feb 28, 09 | 5:00:54 pm MYT
"Jauhkan daripada membicarakan keaiban orang lain atau melukai mereka
dalam bentuk apa pun dan jangan berbicara kecuali yang baik," kata
Hasan al-Banna.
Iklan
Imam Hasan al-Banna menyeru umat Islam, khasnya para da'ie agar
menjaga lidah dan semua ini boleh dilakukan dengan meneropong kesilapan
dan kelemahan diri mereka sendiri.
Apabila seseorang itu kerap
bermuhasabah, meneropong kesilapan dirinya sendiri, mereka akan kurang
membicarakan aib orang lain. Dengan ini, terciptalah dunia yang aman.
Bagaimanapun, perihal aib ini adalah termasuk dalam kategori aib
peribadi. Namun, dalam hal salahlaku pemerintah yang melakukan
kesilapan dalam pentadbirannya, maka hal ini tidaklah termasuk dalam
perbincangan ini.
Ini kerana, perihal salahlaku pemerintah itu mestilah dicegah agar
mudaratnya tidak akan melimpah ke atas masyarakat manusia seluruhnya.
Sepotong hadis Rasulullah s.a.w menyebutkan bahawa, "Barangsiapa yang
menutup aib saudara Muslimnya, nescaya Allah s.w.t akan menutup
keaibannya di akhirat kelak."
Jadi, inilah antara kaedah untuk menghalang rahsia dan aib kita didedahkan Tuhan di hari akhirat kelak.
Ada sebab-sebabnya kenapakah kita suka membuka rahsia keaiban orang
lain. Kebanyakannya sikap ini bermula daripada perasaan dengki dan iri
hati.
Lalu, meluap-luaplah perasaan untuk menjatuhkan maruah, imej dan reputasi orang lain di dalam kerjaya mereka misalnya.
Padahal, keaiban dan kelemahan seseorang itu memang berlaku dalam
urusan Allah. Tuhan sendiri telah menyatakan bahawa manusia itu dicipta
dalam serbu kekurangan dan mereka tidak sempurna.
"Wa khuliqal insanu dha'ifan - dan diciptakan manusia itu dalam keadaan daif."
Kita sendiri mesti ada kelemahan. Maka sebab itulah persaudaraan itu
penting agar dengan itu kelemahan kita akan ditampung oleh kekuatan
orang lain. Dan, kekuatan kita menampung kelemahan orang lain.
Tidak ada manusia yang sempurna di dunia ini. Apa yang menjadi masalah
ialah manusia itu sendiri berasa dirinya cukup sempurna lalu dia angkuh
dengan pemberian Tuhannya.
Maka jelaslah di sini bahawa bahaya lidah berpunca daripada hati yang
tidak bersih, suka menghina orang lain kerana berasa dirinya sudah
baik.
Sekali peristiwa, tersebutlah kisah di mana Tuhan mahu mencipta makhluk
yang baru, iaitu Nabi Adam a.s. Pada ketika itu, diriwayatkan bahawa
Iblis pada ketika itu digelar Azazil dan dia menjadi guru kepada para
malaikat lantaran kelebihan ilmunya.
Iblis berasakan bahawa tiada orang yang boleh menandingi kesolehannya,
kewarakannya dan ilmunya. Sehinggalah dengan tiba-tiba tercipta Adam
a.s.
Ekoran cemburu, dengki dan iri hati itulah, maka Iblis sampai sanggup
menghina Adam a.s dengan katanya, "Aku lebih baik daripadanya (Adam).
Engkau ciptakan aku daripada api dan Engkau ciptakan dia daripada
tanah!"
Demikianlah kata Iblis ketika dia diperintahkan Tuhan untuk sujud bersama-sama malaikat ke atas Adam a.s itu.
Jelas di sini. Ketika hati tidak bersih, jiwa dibalut rasa angkuh, maka
lidah pun secara tidak langsung akan lebih mudah menghina orang lain.
Sedangkan, jelas wujud arahan di dalam al-Quran yang memerintahkan kita
agar jangan hina orang lain. Ini kerana, mungkin yang dihina itu lebih
baik daripada si penghina.
Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (dari kaum
lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana)
harus puak yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan
janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan
merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) harus puak yang
dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka; dan janganlah setengah kamu
menyatakan keaiban setengahnya yang lain; dan janganlah pula kamu
memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk.
Amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah ia
beriman. Dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada
perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.
Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan
(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana
sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa; dan janganlah
kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang; dan
janganlah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah kamu suka makan
daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat)
maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu patuhilah larangan
itu) dan bertaqwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima
taubat, lagi Maha mengasihani. [al-Hujurat: 11 - 12]
Perbaiki hubungan persaudaraan
Maka, wasiat Hasan al-Banna yang ke-8 ini barangkali sumber, asas dan
dasarnya digali daripada surah al-Hujurat yang merincikan nilai-nilai
moral dan akhlak yang sepatutnya dijunjung dan diwarisi oleh umat Islam
seluruhnya.
Dengan menjaga lidah, maka hubungan persaudaraan terpelihara. Ini
kerana, masing-masing orang tidak akan mencederakan perasaan orang lain
melalui kata-kata.
Dan, inilah sebenarnya yang diperjuangkan oleh Hasan al-Banna. Iaitu,
mengembangkan rasa persaudaraan Islam sejagat. Dengan lidah
persaudaraan terhakis dan melalui lidah jugalah ikatan persaudaraan
kembali terjalin.
Hubungan ukhwah, perpaduan antara Islam ini jangan dilihat dari sudut
yang kecil saja seperti hubungan kejiranan dan hubungan di tempat kerja
semata-mata.
Yang lebih mustahak, ialah kita menyelami hasrat dan keinginan Imam
Hasan al-Banna ini yang mahukan Islam itu menjadi 'ustaz' kepada alam
ini. Pada tahap itu, umat Islam di dunia adalah murabbi, pengasuh dan
pendidik di dunia.
Demikianlah tingginya cita-cita beliau itu. Jadi, hubungan ukhwah
persaudaraan Islam ini tentunya bersifat menjelajah ke antara benua,
merentas sempadan negara-negara Islam. Mungkin, yang lebih utama ialah
bagaimanakah mahu membentuk ikatan persaudaraan antara
pemimpin-pemimpin dan umat Islam seluruhnya.
Kita melihat, tiadanya kesepakatan antara Negara-negara Islam sendiri
dalam isu Palestin yang ditindas. Umat Islam di Patani dan
lain-lainnya.
Tapi, tiada pula percakaran dan pertengkaran yang besar-besar antara
Negara-Negara Islam. Kalau pun ada, ia melibatkan kes perang Iraq dan
Iran pada satu masa dahulu. Maka hendaknya persefahaman antara pemimpin
negara Islam dapat dijalin bersama bagi menyatukan tindakan mereka pada
masa hadapan.
Berkatalah yang baik-baik sahaja
Akhirnya Hasan al-Banna berwasiat, jika kita ingin berbicara, maka
pastikanlah bahawa isi dan inti percakapan itu cuma yang sarat terisi
dengan kalimah yang baik-baik sahaja, menyeru ke arah kebaikan dan
mengajak orang-ramai meninggalkan segala yang merosakkan amalan,
fikiran dan jiwa dan anggota tubuh badan.
Baginda Rasulullah s.a.w bersabda, ".. sesiapa yang beriman kepada
Allah dan hari akhirat, maka katakanlah hal-hal yang baik atau lebih
baik diam sahaja." Apabila seseorang itu berdiam, dia akan
terus-menerus berzikir, berwirid. Semua ini menunjukkan bahawa waktu
seseorang Muslim itu sangat berharga dan setiap masa yang berlalu tidak
digunakan ke arah yang tidak berfaedah.
Apabila berbicara, mereka mengungkapkan hal-hal yang baik-baik. Jika berdiam diri, mereka akan berzikir secara rahsia. _
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment