Bagi menghilangkan kebosanan tatkala cuti semester menjelang, menulis pun best juga ye?
"Kadangkala gerak hati kita inginkan kebaikan...Namun begitu, bisikan dan godaan syaitan tak pernah berhenti. Rasa ragu-ragu untuk melakukan kebaikan itu seringkali tertunda. Entah sampai bila. Adakah mati kita juga boleh ditunda?"
_______________________________________________________________
Safiyah dan Syafikah berjalan menuju ke Marhalah Asiah. Kedua-duanya manis menggayakan blaus muslimah, berseluar longgar, dan bertudung labuh. Walaupun panas terik meggigit kulit, tetapi pakaian yang dikenakan dapat melindungi kulit mereka dari panas mentari. Manakan tidak, hampir segenap bahagian badan ditutup dan terjaga rapi, tidak perlu bimbang untuk membazirkan duit membeli SPF ataupun sunblock berpuluh ringgit. Safiyah dan Syafikah senang menggayakan busana muslimah. Selesa, anggun, dan sopan. Apa yang paling penting ialah redha Ilahi.
Safiyah masih teringat, kali pertama dia terlintas untuk menggayakan tudung serta t-shirt labuh. Ketika sedang menunggu ibunya ketika pulang dari sekolah, Safiyah dan Syafikah duduk di sebuah pondok sambil mengunyah keropok lekor. Terdapat ramai peserta bola jaring dari sekolah seluruh daerah Dungun di padang. Mereka sedang asyik melihat sekumpulan pelajar sekolah menengah agama yang menggayakan t-shirt beserta bertudung labuh. Kedua-duanya terpesona.
“Fika...Comelnya! Lawanya diorang pakai macam tu. Aku teringin lah nak pakai macam tu.” Safiyah termenung jauh, matanya tidak berganjak dari memandang pelajar-pelajar tersebut.
“Ha’ah la weh..! InsyaAllah, one fine day...” seperti biasa, Syafikah sentiasa bersemangat apabila berkata-kata. Safiyah tersengih melihat Syafikah mengunyah keropok lekor yang liat itu.
Dan Safiyah juga masih ingat, saat kali pertama dia mengenakan stokin ke luar rumah. Rasa kekok kerana takut mungkin ada yang bakal perasan akan perubahannya. Jika ingin ke kelas tambahan, Safiyah akan memakai kasut, supaya tidak akan ada yang perasan akan perubahannya. Begitu juga dengan tudung labuh pertamanya. Safiyah berasa tidak selesa memakai tudung bawal kerana bimbang akan sifatnya yang jarang, sedangkan seorang muslimah itu jika mahu berpakaian tidak boleh jarang. Jadi dia cuba untuk mencari tudung yang tidak ‘transparent’ di pasar malam bersama Syafikah. Akhirnya mereka berjaya menjumpai gerai yang dicadangkan oleh Syafikah.
“Tudung hitam...Tudung hitam....” Safiyah berbisik sambil membelek-belek tudung yang tergantung di gerai tersebut.
“Cari apa dik..?” taukeh kedai tersebut muncul dari belakang van dengan sebungkus air teh ais.
“ Oh... Kak, ada tak tudung hitam yang macam ni?” Safiyah bertanya sambil menunjukkan jenis tudung yang diinginkannya.
“Oh, ado dik... Nok lerang brape?”
“Er...Leran berapa ada?” tanya Safiyah sambil mengangkat keningnya.
“Ada hok ni je dik, lerang 60 je,” penjual tersebut mengangkat sehelai tudung hitam sambil menghirup air teh aisnya. Pekat sungguh loghat Terengganunya. Kadang-kadang Safiyah terpaksa meneka apa yang dikatakan oleh wanita tersebut.
Safiyah mencapai tudung itu, melipatnya kepada bentuk tiga segi.
“Fika, cuba tengok ni,” Safiyah memanggil Syafikah yang asyik membelek tudung.
“Waa...Besar la Saf,”
“Kak, yang kecil sikit tak ada ke?” Safiyah melipat semula tudung tersebut.
“Takdok lah adik, ni je stok hok ada. Ni pun akok nok prabih stok nih.Kalu adik beli hok ning, akok buleh kasi diskaun,” penjual tersebut terus membodek pelanggannya.
“Nak beli ke tak nak? Nanti kalau tak beli, susah nak cari lepas ni. Kalau pakai besar sangat, nanti orang mesti terkejut. Panggil aku ustazah la pulak,” bisik hati Safiyah.
“Fika, macam mana ni?” Safiyah meminta pendapat Syafikah.
“Hum... Kau beli saja lah. Lepas ni susah nak cari pulak. Up to you...” Syafikah membiarkan Safiyah membuat pilihan.
“Hum, okay lah kak. Berapa ringgit ni?”
“Dua puluh lima je dik...”
“Alah, dua puluh sudah la kak, saya ni student lagi. He he.” Safiyah terus tawar-menawar.
“Dua puluh tiga lah dik.”
“Dua puluh dua satu lah kak,”
“Um, kira jadilah dik.”
Safiyah tersenyum sambil mengeluarkan dompetnya, tetapi dihalang oleh Syafikah.
“Takpe, biar aku bayar...” Syafikah menghulurkan duit kepada penjual tersebut.
“Eh...!Tak apa,aku bayar,” Safiyah tetap tidak mahu mengalah.
“Hait! Simpan duit tuh. Bukan sokmo pun,” Syafikah mengenyitkan mata kepada sahabatnya. Senyuman manis mula terukir di wajah Safiyah, betapa beruntungnya dia mempunyai seorang sahabat yang kuat memberi dorongan kepadanya untuk berubah.
“Beli ye kak,” Syaafikah mengambil bungkusan tudung hitam tersebut dan memberikannya kepada Safiyah.
“Jual...”
Safiyah menyambut bungkusan tersebut dan diletakkan di dalam begnya.
“Semoga Allah merahmatimu wahai sahabatku...!” hati Safiyah berbisik.
Setibanya di rumah, Safiyah cuba untuk menggayakan tudung yang baru dibelinya itu. Dicadangnya ingin dipakai pada hari Selasa nanti, bersama uniform Kadet Remaja Sekolah.
Di dalam hatinya Safiyah bermonolog; "Aku rasa macam tak sesuai je pakai tudung ni.Aku ni bukanlah alim sangat, ilmu agama pun ciput saja. Nak pakai ke tak nak?"
Hatinya mula berasa kurang yakin. Cepat-cepat dia beristighfar.
"Ish! Aku pakai macam ni bukannya sebab aku nak orang fikir aku macam mana. Yang penting Allah tahu niat aku apa. Aku nak jadi baik, dan inilah salah satu perkara yang perlu aku ubah dalam hidup aku. Go go go Safiyah!!" dia tersenyum seorang diri dihadapan cermin, dengan muka penuh keyakinan.
"InsyaAllah. Ya Allah, Engkau permudahkanlah..." Safiyah berbisik perlahan.
Matanya mula bertakung, kerana berasa sebak dan bersyukur akan hidayah Allah.
_________________________________________________________________